lazada

Puteri Kenari

blog ini adalah blog peribadi.Dalam masa yang sama, saya adalah seorang peniaga online dan sudah mendaftar dengan ssm

Memaparkan catatan dengan label sweet family. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sweet family. Papar semua catatan

Rabu, 1 November 2017

Coretan rindu buat Ayah



25hb september 2017

          Balik dari kerja,  lipat kain baju yang tak sempat disiapkan semalam. Tiba- tiba kiri kanan telinga terasa panas berbahang seperti cuaca sangat panas. Saya terhenti melipat baju untuk beberapa minit. Terasa pelik sangat. Kenapa kat badan dan kaki tak panas. Jantung terasa berdegup laju tanpa sebab. Astaghfirullah hal azim...

          Beberapa minit kemudian, dapat berita dari grup whatsapp keluarga bahawa ayah kemalangan dengan lori pasir. Ayah pula bawa motor katanya.  Risaunya hati...

          Ketika hendak menunaikan solat maghrib,  saya menerima panggilan dari anak buah, " tokki dah meninggalkan " katanya .  Hanya Allah yang tahu betapa hancur luluh hati ini.

          Melihat gambar dan video ditempat kejadian membuat kaki saya terasa goyah.  Jantung yang tadinya laju kini terasa berhenti berdegup. Solat diteruskan dengan penuh berserah kepada Allah, moga doktor silap buat andaian. Aku mahu ayah hidup. Aku rindu ayah.

          Malang sekali kereta kami sudah tamat tempoh cukai jalannya. Kebetulan Along sedang dalam cuti semesta,jadi kami mencari kereta yang boleh dipinjam. Kalau boleh disewa lagi bagus,tetapi di kampung ini mana nak cari kereta sewa. Malang sekali,  tiada yang berani nak bagi along pandu. Nak pinjam sekali dengan pemandu,  masing masing ada urusan. Akhirnya kami pasrah. Esok pagi naik bas ke Kuantan.

          Menanti pagi, sukarnya nak lelapkan mata. Hanya doa mampu dititipkan. Aku pasrah dengan ketentuannya.Namun hati ini bagai menyalahkan semua orang kerana ketika ada kematian begini pun, masing-masing masih berkira takut kereta mereka rosak kalau dipinjamkan.

          Jauh benar saya berfikir malam ini. Kalaulah saya ditempat mereka, sanggupkah saya meminjamkan kereta kami untuk sebuah kematian? Insyaallah...kami pernah meminjamkan kereta kami lebih dari dari kes kematian. Pinjam berbulan-bulan pun ada. Bila pulangkan kereta, minyak hitam sampai kering kontang. Sedangkan kali ini kisah hidup dan mati. Sampai hati mereka. Sedihnya hati ini hanya tuhan yang tahu. Nak sampai kepagi terasa begitu lambat. Harapan hati moga dapat saya melihat Arwah buat kali terakhir.

26hb September 2017

Masih dalam perjalanan. Tak sabar bertemu insan tersayang yang dirindui selalu.
Kali ini berbeza, hanya jasad yang bakal kutemui. Sedangkan rohnya sudah dibawa pergi. Hakikat saya sangat merindui ayah tidak dapat disangkal lagi. Ayah yang selalu memanjakan saya lebih dari ibu memanjakan saya. Ayah yang selalu memuji saya walaupun untuk perkara yang kecil. Membuat saya sentiasa bangga mempunyai seorang ayah yang saya panggil ayah.

Jam 8.22 pagi,

Grup whatsapp mengongsikan berita, jenazah sudah siap dimandikan, dikafankan. Disolatkan 3 kali. Alhamdulillah... Ramai yang datang. Hati saya mulai tidak karuan. Sempatkah saya melihat wajah ayah buat kali terakhir?

Jam 9.00 pagi,
Tiga jenazah dikuburkan dalam satu liang lahad. Melihat dari grup whatsapp keluarga, gambar orang sedang menimbus tanah . Terasa jantung saya berhenti berdegup. Nafas terasa sesak. Tanpa hiraukan orang lain, saya terpaksa membiarkan air mata mengalir membasuh segala kesedihan dihati. Sedihnya hanya tuhan yang tahu. Tak sempatkah saya nak melihat wajah nya buat kali terakhir? Tidak sempatkah nak mengucup dahinya buat kali terakhir?

          Saya masih tidak berpuas hati. Saya tetap bertanya apakah benar jenazah sudah dikebumikan? Alhamdulillah... semuanya sudah selesai. Ketika itu terasa kekecewaan yang teramat sangat. Hati memanggil ayah seolah-olah saya tidak rela ayah dikebumikan sebelum saya melihatnya. Namun begitu, apalah daya saya, semuanya sudah ditentukan Allah. Saya menangis disepanjang perjalanan.

          Terbayang diruang mata saat terakhir saya menyalami dan memeluknya. Entah mengapa pertama kali saya merasa seperti tidak mahu melepaskan pelukan. Sehingga arwah ayah yang meleraikan pelukan. Tidak pernah saya sangka ianya adalah pelukan yang terakhir buatnya.

Jam 10.55,

Bas berhenti di terminal temerluh dan akan bergerak pada jam 11.30 pagi. Temerluh adalah tempat biasa bagi kami. Bak kata orang, tempat berak.hihi, Setengah jam menunggu,  setiap orang yang lalu di depan saya, selalu terlihat seperti ayah. Padahal tak sama langsung... Ini membuat saya sentiasa menoleh dua kali. Ternyata dalam kepala saya kini hanya ayah,  ayah dan ayah.

Jam11.30,

Bas bergerak laju. Membawa hati lara yang kian terasa kosong. Sampai ke sana nanti, saya tetap tidak dapat melihat ayah lagi. Apalah gunanya saya berkejar kesana? Begitu kejam saya menghukum. Itulah yang terlintas difikiran saya ketika hilang sedikit akal waras.

          Dipendekkan cerita, akhirnya saya sampai ke Kuantan, Alhamdulillah...saya sudahpun tenang dan redha. Kami melawat kubur arwah di Kampung Peramu. Dari cerita yang dikhabarkan, alhamdulillah...membuat hati saya sangat tenang.

          Menurut cerita keluarga, arwah ayah masih sedar ketika di tempat kejadian. Arwah sempat memangku kepala arwah ibu tiri saya. Ada yang bertanya khabar dan arwah ayah masih mampu menjawab seolah-olah dia tidak ada apa-apa. Perkhabaran bahawa isterinya sudah meninggal juga dijawab dengan tenang. Arwah ayah dimasukkan di wad icu kerana kehilangan banyak darah.Tetapi arwah masih lagi sedarkan diri.

          Namun begitu, tanpa disangka-sangka, arwah kritikal dan keluarga yang ada dipanggil. Ketika itu juga keluarga terpaksa mengizinkan doktor mencabut segala bantuan. Redhakanlah pemergiannya.
Yang paling menyejukkan hati adalah ayat adik ipar saya ni ,
"Kalau kakne bayangkan muka ayah semasa dia tidur di atas kerusi sambil tengok tv tu, macam tulah muka ayah semasa ayah dah meninggal. Tenang dan tersenyum seperti tidur. "

          Alhamdulillah... walau hati sedih, serba sedikit cerita ini dapat menenangkan hati saya yang masih sangat teringin nak menatap wajah ayah. Tambahan pula, segala urusan pengebumian dipermudahkan oleh Allah swt . Semuanya sudah selesai. Tinggallah anak-anak menyelesaikan tugas sebagai anak soleh. Semoga arwah ayah dan ibu diampunkan Allah dan kami dapat bertemu di syurga nanti. Aamiin...

          Sekian...

Di kesempatan ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir mendoakan dan membantu urusan pengebumian arwah ayah saya. Ribuan terima kasih juga buat sahabat saya Lia yang menenangkan saya di saat saya sangat memerlukan sokongan dari seseorang. Terima kasih buat suami yang sangat memahami. Terima kasih juga buat rakan sekerja, Boss, Big boss, jiran-jiran BBK , jiran-jiran di Jengka 12 yang sudi datang, dan semua yang menyokong dan memberi semangat kepada kami.

          Kehilangan ayah adalah satu kehilangan yang sangat terkesan buat saya. Kerana ayah adalah insan yang sentiasa tersenyum, tidak banyak bercakap, tetapi setiap nasihat darinya adalah sangat ikhlas. Ayah akan selalu ketawa bila mengeluarkan sebarang kenyataan agar orang yang mendengar tidak tersinggung. Yang pasti, saya sangat rindukan ayah.

          Kini sudah sebulan lebih ayah pergi. Baru hari ini saya dapat mengedit coretan ini. Dah lama saya tulis sebenarnya...tapi tak sempat nak poskan sebab tak cukup masa. Kenapa tak cukup masa? nantilah saya cerita. Dah ada beberapa post entry yang saya buat tapi tak sempat nak edit.huhuhu...sadis. Takpelahkan...nanti saya buat.hihi,

          Coretan rindu buat ayah ini saya akhiri dengan  ucapan, Assalamualaikum.

Sabtu, 26 Ogos 2017

Perasmian Bulan Kemerdekaan 2017 SKBY

           Pada 23hb Ogos 2017 iaitu semalam,  acara Perasmian Bulan Kemerdekaan 2017 SKBY diadakan. Tema hari kemerdekaan untuk tahun ini adalah "NEGARAKU SEHATI SEJIWA".

          Dengan ini akan bermulalah berbagai aktiviti yang bertemakan merdeka di Sekolah Kebangsaan Batu Yon sehinggalah  ke sambutan hari Malaysia nanti.
Persediaan pentas pada hari sebelumnya. 
           Pagi ini,  murid-murid berhimpun di dataran SKBY diiukuti dengan bacaan doa,  nyanyian lagu negaraku dan beberapa buah lagu patriotik. Saya mengambil kesempatan merakam video untuk koleksi . Sayangnya lupa nak ambil gambar. Hanya gambar ni aje yang ada untuk dipaparkan buat korang tengok.
           Selepas perasmian oleh Puan Haliza merangkap guru besar SKBY DAN diikuti laungan merdeka oleh YDP SKBY iaitu Encik Hamzah dan murid- murid sekolah, pihak muzium Kuala Lipis telah dijemput sebagai peransang minda anak anak untuk menghargai nilai kemerdekaan negara kita.
           Walaupun mereka tidak dapat mengangkut satu muzium untuk dipamerkan,  memadai semua ini untuk menimbulkan rasa kagum dihati masing masing.
           Berbagai jenis senjata dipamerkan seperti keris dan badik.  Maafkan saya kerana gambar berkualiti tidak dapat dipersembahkan kerana cahaya lampu diatas kepala membuatkan gambar terlebih effect. Huhu...
           Saya tertarik dengan bebetapa barang antik. Jadi sayabpilih beberapa jenis barang untuk dikongsikan. Kalau korang perhatikan betul- betul,  senduk ini diukir dari kayu keras dan pembuatannya sangat rumit dan teliti. Hebatnya kemahiran dan kreativiti orang dahulu.
           Yang ini pulak,  gayung dari tempurung kelapa yang bertangkaikan kayu yang keras. Pembuatannya sangat kemas dan teliti. Teringat senduk dan cebok kat rumah saya.  Berapa bulan aje guna dah tercabut tangkailah... Pecahlah...  Tak tahan langsung.
           Yang ini pulak tepak sirih.  Tepak sirih ni antik punyalah kan... Dibuat dari tembaga.  Ternampak gobek sirih tu teringat arwah nenek saya.  Semasa hayatnya,  selalu saya menjadi tukang tumbuk sirih untuk beliau.

          Bila dia rasa nak makan sirih,  dia akan cakap "Ne,  tolong buat sieih kat Tok" .Sayapun ambillah sirih dua helai,  petik buang tangkaing,  sapukan dua calit kapur sirih,  campurkan sedikit pinang yang diracik nipis dengan kacip dan sedikit gambir.  Lipat lipat dan sumbat kat dalam lubang gobek dan tumbuk dengan alunya yang diperbuat daripada kayu bulat yang diraut cantik.

          Sayangnya saya tak pernah ambil tahu dimana gobek tersebut berada. Satu lagi yang saya ingat,  arwah mempunyai sikat yang diperbuat daripada tanduk yang berwarna hitam dan ianya juga entah ada pada siapa selepas pemergian arwah.
           Tapis santan tembaga ni juga sangat menarik. Lubangnya halus sahaja.  Zaman sekarang ni mana ada yang macam ni. Kalau adapun tapis yang lubangnya kasar dan santan perlu ditapis semula kerana kelapa banyak yang lolos.
           Bekas habuk rokok pun hado...
           Penapis atau acuan cendol ni lagilah kagum kita tau... Tempurung kelapa dikikus dan ditebuk cantik dengan pemegangnya diperbuat daripada kayu keras.  Korang cuba bayanfkan kwrja menebuk lubang tu. Bukan sebarang kerja tu... Kalau ketul,  haruslah pecah tempurung kelapa tu kan...
  
           Pinggan tembikar ni memang kuat.  Setakat jatuh sikit tu memang kalah pinggan alcoroc dan alcopal tu. Tak pecah punya. Yang empat segi tu pulak,  diorang jadikan bantal pelapik tidur. Korang hado?  Hahaha...
           Kukur kelapa yang diperbuat daripada kayu keras, siap dengan ukiran yang cantik. Kayu mampat nu tau... Berat kalau nak angkut pindah2 banjir ni. Hihi.
           Pelita?  Entahlah camana ianya berfungsi.
           Periuk tembaga ni kan... Lebih kurang dengan periuk arwah mak masak bubur untuk adik-adik saya dulu. Tapi sayapun tak pernah bertanya ayah apakah ianya masih disimpan kemas seperti ketika arwah menjaganya. Siap dibungkus kemas dan disimpan di bawah katil.
           Jongkong emas ni memang menarik perhatian ramai. "Emas betul ke tu? Berat ke? " itulah soalan yang paling top.
           Sambil menunggu giliran untuk melawat pameran, pelajar tahap satu menyertai pertandingan mewarna merdeka. Manakala pertandingan melukis poster untuk pelajar tahap dua.
          Peserta terpilih untuk gambar blog saya... Haruslah buah hati saya yang paling comel dihati ku ini... Hihi

          Dan yang terakhir sekali adalah sesi menjawab kuiz.  Bukan main seronok anak anak berebur nakkan hadiah.

          Semuanya dah berakhir dan sambutan bulan kemerdekaan baru bermula. Apa yang penting,  saya melihat satu semangat yang berjaya dipupuk dengan majlis ini.

Dikesempatan ini,  saya ingin menfucapkan selamat menyambut hari kemerdekaan dan selamat hari raya kirban untuk semua pembaca blog nu.

Assalamualaikum

Khamis, 11 Mei 2017

Rindu

          Hari ni nak buat tajuk jiwang sikit. Rindu macam tak jumpa setahun gitu.... tapi rindu untuk siapa kan?

          Sebenarnya saya rindu sangat nak menulis merapu macam dulu.tapi yelahkan...alasan seharusnya tak timbul kalau hati betul- betul ingin.

          Kata orang, tulis blog ni kena 'mantain' walaupun hanya sebaris ayat. Tetapi bagi saya pula, kalau setakat nak sebut hai, baik tak payah. Buang masa orang buka blog aje. Isinya langsung tak ada.

          Sebut perkataan ' langsung ni, sudah lama saya mencari perbezaan perkataan lansung dan langsung.Sebab saya selalu jumpa dua perkataan ini.Ini membuatkan saya keliru dan menulis blog saya dengan kedua- dua perkataan.

          Bermacam orang saya dah tanya termasuk anak-anak saya yang belajar di Universiti. Tetapi mereka sendiei kurang yakin dengan jawapan mereka.

          Akhirnya terdetik hati saya untuk bettanya kepada cikgu Bahasa Malaysia kat SKBY ni.

Jawapannya,
Perkataan lansung tidak ujud dalam Bahasa Malaysia. Perkataan yang sebenar hanyalah 'LANGSUNG' walau dalam apapun situasi ayat..

          Dalam erti kata lain, langsung tak ujud perkataan MELANSUNGKAN PERKAHWINAN. Tetapi MELANGSUNGKAN PERKAHWINAN.

          Akhirnya saya mempunyai tempat bertanya tentang bahasa yang tidak beku untuk blog saya. Terima kasih Cikgu Ruzieyan.

          Akhinya dengan secara tidak langsung, rindu saya pun terubat. Jumpa lagi lain waktu, Assalamualaikum...

Selasa, 7 Mac 2017

SSM Punca Gagal Dapat BRIM

          Assalamualaikum...

          Betulkah SSM Punca Gagal Dapat BRIM? Hahaha... Baru semalam semak status BRIM yang tak masuk macam biasa.Alasan tidak lulus adalah kerana pasangan mendaftar SSM. Nak kena buat rayuan. Hmm...

          Bukan nak bersungut sebenarnya... kalau dah tak dapat tu, kira takde rezeki ajelah kan...apa nak hairankan lagi.Kerajaan kita memang tengah sengkek. Catu sana, catu sini, buang subsidi sana, naikkan harga minyak, naikkan tol, ambil cukai GST, asalkan boleh datangkan duit untuk negara, tak kisahlah kalau rakyat bersusah sikit kan...

          Mana yang boleh sekat duit keluar, kenalah sekat... tapi BRIM wajib bagi juga...nanti undi terbang kan...dah tak lama lagi nak mengundi ni. Tak kisahlaa... namanya pun bantuan. Siapa yang dapat tu, memang rezekilah... Mana yang tak dapat tu, diam-diam sudah...Kerjalah lebih kuat untuk cari rezeki.

          Cuma nak bagi pendapat je tentang SSM Punca Gagal Dapat BRIM. Tapi sebelum tu, adalah kisah mukadimah sikit...

          Sebagai bakal usahawan berjaya, saya dengan bersemangatnya telah berjaya mendaftar dengan SSM untuk kontrak tiga tahun dengan bayaran Rm100+.00 .Maaf, dah lupa seratus berapa ringgit kena bayar haritu.

          Sebagai peniaga online yang takde modal sendiri, saya berniaga secara dropship sahaja. Kononnya nak tambah pendapatanlah kan...Tapi sebagai suri rumah bekerja, manalah nak sempat nak promote barang sangat. Setakat masa terluang tu memang takdenyalah nak income beratus. Sebulan paling banyak boleh dapat rm50.00...tapi majoriti, dua tiga bulan pun belum tentu ada pembeli.

          Tak kisahlah kan... awak iklanpun tidak...nak dapat income banyak camana kan... Semenjak saya pulang je kampung dan bertukar status dari suri rumah sepenuh masa kepada pekerja am, saya lebih banyak menjadi kaunter pertanyaan dari berjualan.

          Kenapa saya sebut kaunter pertanyaan? Sebab memang ramai yang wasap saya untuk bertanya tentang produk yang mereka sudah beli dari pembeli lain. Ada yang mengadu kulit pedih, ada yang tanya cara guna, dan macam-macam soalan yang memakan masa kadang-kadang berhari-hari untuk saya melayan soalan mereka. Padahal saya sendiri hanya bercerita berdasarkan info dan pengalaman saya sebagai pengguna.

          Bila semakan satus BRIm yang saya terima  "SSM Punca Gagal Dapat BRIM", Saya rasa macam ianya adalah alasan yang tak masuk akal buat orang macam saya. Nampak sangat ianya adalah alasan yang sengaja dicetuskan. Apa tidaknya! Dulu suruh daftar SSM dengan alasan supaya penipuan online dapat dielakkan. Tapi bila dah daftar, terus mark semua yang mendaftar SSM sebagai penuaga berjaya. Padahal bersepah kat luar kotak tu yang tak aktif manapun...tapi daftar juga SSM demi sebuah kepercayaan. Korang rasa? Masuk akal tak?

          Tak kisahlaa... tak dapat BRIM pun masih ada tulang empat kerat ni untuk terus mencari rezeki.Tak kisahlah kalau tangan dah mula kebas, sendi dah mula sakit, demi membesarkan anak-anak, ada aku kisah? Hihi...aku tu trend...saya tetap saya.Berniaga insyaallah... semangat masih berkobar. Mungkin kena teroka lebih pengalaman. Siapa tahu satu hari saya dapat bantu orang lain pula. Apalah sangat diharap Bantuan Rakyat 1Malaysia tu. Bukan kita kerja pun dapat duit tu. Ianya hanya bantuan. Betul tak?

          Makanya...sesiapa yang tak dapat duit BR1M tu... Marilah kita bersyukur atas kesihatan yang diberi, kudrat yang diberi, rezeki yang diberi...dan segalanya yang kita miliki. sentiasalah Kita mengingatkan diri sendiri... bahawa rezeki,jodoh dan ajal maut itu adalah datangnya dari Allah SWT. Jom matangkan diri...kita teruskan usaha mencari rezeki yang halal dari titik peluh sendiri dalam keredhaan Allah SWT yang maha pengasih,maha pemurah lagi maha pengasihani. Banyakkan mohon ampun darinya...insyaallah... rezeki kita akan diberkati.Wallahu a'lam.

Isnin, 20 Februari 2017

Cerita selepas banjir

           Pada hari sabtu sehari selepas air surut, kami masih perlu membersihkan seluruh rumah dengan lebih terperinci kerana bekas lumpur yang tinggal akan bertukar menjadi debu yang akan mengganggu pengudaraan di dalam rumah selama bertahun tahun.
           Mujur juga hari ini merupakan hari cuti sempena tahun baru cina. Maka ramailah juga kaki tangan yang dapat pulang bercuti dengan penuh kesibukan. Nasiblah cuti tahun baru kena basuh rumah kan... Sayapun tak dapat nak bercuti juga. Plan utama nak jahit baju asrama Nana juga terbengkalai.
           Pakaian yang tak sempat diselamatkan terpaksalah dikutip dan dicuci dengan penuh kesabaran kerana salutan lumpur yang melekat amat susah untuk dihilangkan. Oleh kerana mesin basuh telah digunakan terlalu lama untuk mencuci pakaian berlumpur, mesin basuh pula jem terus. Sabar ajelah...
          Dalam banyak banyak barang, barang dalam gambar ni menarik perhatian saya. Sekali pandang mungkin kita sangka ianya kuali, tetapi sebenarnya itulah dulang. Dulang yang digunakan untuk mengasingkan bijih timah atau emas. Segera terbetik dihati akan pepatah tepuk air didulang, terpercik ke muka sendiri. Agaknya yang dimaksudkan tu dulang airkah atau dulang yang ini kan?
          Dalam banyak-banyak perabut, yang bernama almari hanya ini yang tinggal. Almari zip yang tidak dikembangkan oleh air banjir. Kerja membersihkan seluruh rumah berlanjutan ke malam.

          Hari berikutnya, saya terpaksa meminta diri untuk pulang ke rumah kami. Semua pakaian anak-anak perlu dicuci. Sambil itu saya memotong kain untuk baju kurung Nana. Selesai memotong, saya menghantar kain-kain itu untuk dijahit tepi.Penatnya berkejar-kejar dalam membuat kerja hanya tuhan yang tahu.

          Sesuatu yang mengejutkan, lembu kami hilang. Sejak petang tadi lagi uncle Adan mencari. Kami agak, lembu-lembu itu lapar dan pintu pagar yang kembang kerana banjir telah melemahkan ikatan pada pintu tersebut dan membuatkan lembu-lembu itu keluar.

          Hari seterusnya, kami serahkan tugas mengemas kepada adik beradik lain pula. Kami terpaksa menarik diri walaupun bantuan kami masih diperlukan. Semua peralatan rumah sudah dipindahkan kembali ke rumah. Semua barang perlu disusun kembali. Uncle Adan perlu menjejak lembu-lembu kesayangan kami dan saya pula perlu mencantum potongan-potongan baju Nana tu secepat mungkin.

           Sejak pagi saya habiskan masa membasuh pakaian sambil menjahit. Apa yang buat saya mulai bosan adalah jadual kerja yang berserabut membuatkan tumpuan fikiran saya turut terganggu. Akibatnya, beberapa kali saya terpaksa menetas semula jahitan akibat terbalik luar dan dalam. Pening juga nak siapkannya. Malamnya,  kami mengunjungi rumah mak dan makan malam di sana.Saya harap dapatenyiapkan sedikit lagi jahitan yang terbengkalai akibat banyak kali tersalah jahit. Malangnya malam ni hujan turun mencurah-curah membuatkan kami tidak dapat pulang ke rumah. Sedangkan esok, anak-anak sudah mahu kembali ke asrama.
          Esokmya,pagi-pagi lagi kami pulang ke rumah. Saya terpaksa berusaha menjahit baju tersebut sehingga siap.Tapi bila buat kerja nak cepat siap ni memang tak menjadi. Asyik silap je walaupun cuma hal remeh. Terpaksalah anak-anak mengemas pakaian mereka untuk ke asrama sendiri...

          Alhamdulillah... siap sebelum tengahari semua kerja dan saya masuk kerja separuh hari pada hari ini, Nana dan Arif akan kembali ke asrama.

          Nak dijadikan cerita, selepas semua baju saya gosok dan pastikan persiapan anak ke asrama selesai, saya terus pergi kerja. Nana akan dihantar oleh pakcunya. Malangnya sebelum Nana bertolak,dia terlelap. Maka bila celik je mata, dia digesa oleh ayahnya yang tengah serabut sebab lembunya belum ditemui.

          Akibat mamai, sampai kat Felda Tersang, baru dia perasan bahawa beg sekolahnya tertinggal. Alahai... hari ni bertukar kepada hari stress sedunia bila Uncle Adan mula membebel mengalahkan mak nenek.Serabut campur penat, Allah je yang tahu hati saya.

Nak dijadikan hal, esoknya saya terpaksa cuti lagi sekali untuk menyelesaikan urusan kakde yang wajib membuat medical check up dan beberapa urusan khas yang memerlukan saya bersama.

          Esoknya saya terpaksa mengisi borang keluar untuk beberapa jam. Sebelum keluar, saya berusaha menyiapkan tugas-tugas penting yang perlu saya lakukan dengan harapan saya tidak akan menyusahkan orang lain untuk menyiapkan tugas saya.

          Terasa macam main cari harta karun pula buat medical check up ni.huhuhu... lakukan secepat mungkin untuk mendapatkan semua yang tersenarai. Bagi yang pernah buat dan sedang mengejar masa mesti dapat rasa macam yang kami rasa.

          Alhamdulillah...semuanya selesai dan isnin nanti , Kakde akan mulakan harinya sebagai pelajar di sekolah berprestij tinggi KISAS( Kolej Islam Sultan Alam Shah).

          Dalam perjalanan pulang, saya mendapat panggilan dari boss saya. Allamak... saya telah terlepas pandang pada satu tugas yang penting.Haru biru dan kecoh satu pejabat dibuatnya.

          Sampai sahaja ke Bukit Betong, saya terus masuk kerja. Alhamdulillah... semua kerja selesai...tapi saya tak dapat lupakan rasa bersalah sebab terlepas pandang satu tugas yang penting sedangkan saya paling tidak suka kalau kerja saya tak siap.huhuhu...Sedih ke sadispun saya tak tahulah... tutup kisah kakde...nanti kita sambung cerita kat entry lain.

          Kita sambung cerita selepas banjir dulu ya.... hari pertama banjir lagi tanaman kami dah tenggelam. Tapi bila air surut, kelihatan semuanya masih hijau. Harapan kian menggunung agar tanaman kami selamat.

          Tetapi cerita selepas banjir ni lain pula jadinya. Pokok yang tenggelam akan mati kerana reput akar. Semusnya menjadi layu dan kering.
       
          Rumpun serai kami jadi rupa ini. Sedih dan redha jelah...semua dah boleh tuai hasil. Cuma belum sempat tuai dan jual.

          Paling sedih tengok pokok cili yang tinggal batang dan ranting ni. Kali terakhir, kami boleh memperoleh rm 50 ke atas untuk satu kali tuaian. Sekarang semuanya dah tinggal rope itu. Baru je rasa lega sebab ada sumber pendapatan tambahan untuk persekolahan anak-anak, sekarang semuanya dah tiada. Redha ajelah... kalau dah bukan rezeki kita, sekejap sahaja Allah boleh tarik dari kita. Tapi kalau dah rezeki kita, takkan ke mana... insyaallah...Allah itu maha kaya lagi maha pemurah lagi mengasihani. Semoga pintu rezeki kami akan terbuka luas walaupun belum kami tahu dari manakah ia akan muncul. Kita kena betsangka baik pada Allah...insyaallah...Allah akan sentiasa bersangka baik dengan kita.Huhuhu...motivated diri sendiri saya hari ni.

          Saya nak tutup semua kisah banjir tahun ini untuk kali ini.Harap tidak ada lagi banjir besar tahun ni. Satu fadhilat bila kami sekeluarga menyewa di perumahan banhir ni, buku-buku kami Alhamdulillah... tak perlu khuatir akan keselamatannya.

          Cuma... apakah kami boleh memohon penempatan banjir selepas banjir tahun ini? Dengar khabar, tok empat Bukit Betong sudah menemui setiap mangsa banjir dan menghantar nama mereka untuk bantuan perumahan banjir.

          Tetapi hairan juga kami tidak diberitahu. Makanya...harap-harap penyelesaian untuk masalah banjir akan dapat diatasi buat kesekian kalinya rumah kami ditenggelami air.

          Kalaulah kawasan rumah kami tu tidak jadi kawasan banjir, kami sudahpun membina rumah di tanah pusaka itu. Sayangnya tanah yang tidak terlibat banjir amat susah untuk kami dapatkan.

          Ada siapa tahu cara dan nasihat untuk orang macam kami untuk mendapatkan bantuan rumah? bolehlah tinggalkan komen. Manalah tahu...YB Dato' Wan Rosdi sendiri nak komen kan...hihi,
Assalamualaikum.

Jumaat, 10 Februari 2017

Main lumpur

           Pada pagi ini, keluarga Abang long datang memberi semangat kepada emak kesayangan mereka. Sebentar lagi Kakde dan Nana akan sampai dari rumah Makteh bersama dengan keluarga Makteh dari Felda Tersang.
           Sementara itu,saya menunggu meteka di dewan. Memerhati duasana dewan,ada yang berbaring, ada yang makan, bersembang dan sebagainya.Kelihatan kumpulan kanak kanak yang masih belum mengerti apa apa bermain dengan penuh seronok. Untung juga jadi kanak-kanak. Tidak perlu memikirkan berbagai perkara.
           Pasukan dari klinik kesihatan Bukit Betong turut memberikan rawatan dan pemeriksaan kesihatan percuma kepada mereka yang memerlukan.Saya juga tidak melepaskan peluang meminta sedikit bekalan paracetamol untuk mengubati kepala saya yang berdenyut denyut. Mungkin kerana kurang tidur, mungkin keletihan dan mungkin juga kerana berhujan dan berpanas beberapa hari ini.
           Para mangsa banjir jkkk Bukit Betong bergabung tenaga menyediakan makanan. Apa yang pasti, hari ini lauk sardin.
           Yang keletihan dan kelaparan disajikan, hihi...berselera Nana dan Kakde makan. Seronok tengok mereka makan. Rindu kot...
           Puan lem juga harus disediakan makanan, huhuhu...
           Masa untuk lumpur terpalit kini bermula.jalan raya diseliputi selut tebal sudah muncul. Masa untuk mencuci rumah.

Skuad penyelamat import dari Sungai Buluh dan Kuala Medang.Keduanya sado sado dan amat sesuai untuk kerja mrmbersih dan memunggah barang nanti.

Selut yang tebal harus dibersihkan segera supaya kekotorannya tidak melekat.

Sesampai kami ke tumah, kaum wanita terpaksa ke bahagian dapur untuk membersihkan ruang dapur sekalifus pinggan mangkuk yang semuanya sudah dipenuhi selut. Cuma lumpur kali ini tidaklah setebal banjir pada tahun 2014.


Sebahagian pinggan mangkuk dan peralatan siap dibersihkan.Banyak juga barang plastik yang hanyut terpaksa dikumpulkan disekitar 100 ke 200 meter dari rumah.Mana yang hanyut jauh dari rumah tu memang tak ada rezrkilaa....termasuk sebiji tempayan antik yang takkan ada gantinya lagi.

          Barang barang eletrik sudah boleh dibawa pulang, tetapi semua plug belum cukup kering untuk digunakan.Walaupun belum siap sepenuhnya, kami harus hentikan kerja membersih etana hari sudah kian gelap Esok masih ada untuk menyambung kerja. Dan kami krmbali ke dewan .Malam ini memang tidur tak hengat punya. Penat sangat. Tidur ajelaa...blog pun sambung esok.

Rabu, 8 Februari 2017

BanjirBukit Betonghari ketiga

           Malam tadi air semakin naik.Kami terpaksa menunggu air surut sedikit untuk mengunjungi rumah kami lagi.Alhamdulillah...Kakde dan Nana akhirnya dapat pulang kepangkuan kami dengan selamat.
           Setelah air agak surut, kami kembali menjenguk teratak tersayang.Tengok aje muka saya yang kepenatan dan sakit kepala akibat cuaca panas yang perit itu.Namun begitu,perjuangan harus diteruskan . Kalau tidak kami, siapa lagi yang mahu membantu emak kan...
           Kali ini,kami menaiki perahu yang sendat kerana masing masing tidak mahu ketinggalan menjengah rumah yang dilanda bah ini.
           Alhamdulillah...walaupun mesin kelapa terpaksa diselami banjir baru dapat,kami mengutip apa apa barang yang masih boleh diselamatkan termasuk frame gambar sulaman kesayangan emak.
           Dan orang yang mengutip varang barang tersebut tak lain tak bukan adalah wakil jpam kami,abang teh.hihi...Air banjir memang boleh menenggelamkan saya.Mujur Abang Teh ni tinggi dan pandai menyelam dan berenang.Adan pun boleh...cuma beliau dah sangat kepenatan sebenarnya.
          Air sudah semakin surut,tetapi jalan raya masih belum boleh dilalui.perahu yang digunakan untuk mengangkut keluar masuk penduduk kampung sudah bocor gara gara terlalu banyak kali tersagat di atas jalan raya.

         Harapan tinggi menggunung supaya air cepat surut dan kami dapat membersihkan rumah secepat mungkin.Tetapi untuk hari ini...kami tidur dengan segala keletihan dengan harapan,tenaga kami akan pulih untuk membersihkan rumah esok pagi.

Banjir Bukit Betong hari kedua

           Pagi hari kedua banjir di Kampung Bukit Betong 2017 ini,bertarikh 26 Januari 2017.Pada pukul enam pagi,saya terjaga dari tidur. Mak mertua saya sudah tiada di tempat tidur.Dari jauh saya lihat beliau sedang duduk termenung di muka pintu dewan sambil memerhati titis titis hujan yang masih lebat tanpa tanda ingin berhenti.

          Apabila saya menegur, emak diam sahaja.Sungguh pilu rasanya hati bila saya cuba menyelami perasaannya.Selepas solat subuh, emak menyuarakan kerisauannya dan sekaligus mengakui sangat terkenangkan periuk nasi letrik beliau yang baru dibeli.

          Kalau diikutkan, mungkin sebuah periuk eletrik tidaklah sebegitu mahal bagi orang lain, tetapi bila memikirkan hati seorang ibu tua yang tidak mampu lagi bekerja mencari duit, periuk eletrik adalah satu yang mampu membuat beliau tersenyum,kami membuat keputusan untuk kembali ke rumah.Baru cerah tanah, saya dan Adan meranduk air banjir untuk kembalikan keceriaan emak.
          Air banjir separas paha,mula masuk ke pintu rumah yang agak tinggi. Sekitar pukul lapan pagi, hujan lebat sudahpun berhenti,tetapi air sungai mula naik dengan cepat.Memandangkan eletrik juga masih berfungsi, agak mengecutkan perut nak terus meranduk di dalam rumah.
          Pengalaman meranduk air banjir ini adalah kali pertama buat saya. Rasa agak pelik bila hanya kali berdua yang berada di sini.Seram ada, seronok pun ada.
          Di sini adalah jalan yang telah terputus dan dari sinilah kami mula meranduk air banjir untuk mendapatkan periuk mak.sempat kami mengambil beberapa ekor ayam yang telah kami tinggalkan dari peti ais malam tadi.

          Setelah berjaya membawa pulang barang tersebut, Alhamdulillah...ada sedikit keceriaan diwajah emak.Tetapi...alahai...periuk eletrik beliau ada dua.Kami hanya mengambil sebuah sahaja.

          Selepas makan tengahari, kami cuba meranduk banjir lagi sekali.Tetapi kali ini air sudah semakin meninggi.

          Pagar rumah sudahpun hampir ampuh.Kami meranduk air banjir separas leher saya.
          Suasana di dalam rumah agak gelap dan suram.barang barang sudah mula terapung di dalam rumah.Oleh kerana air sudah separas leher,kami  harus cepat keluar dari rumah ini.Api eletrik juga madih belum dipotong.Ini menambah rasa cuak dihati kami.

          Selepas mendapatkan beberapa barang yang penting, kami cepat cepat keluar kerana khuatir kami akan terpaksa berenang nanti.Sedangkan saya memang tak tahu berenang ,huhuhu...

          Sampai dijalan luar, ada yang membawa perahu. Kami mengambil kesempatan untuk menyelamatkan  berapa banyak barang yang kami mampu.


Dengan penuh gaya dan semangat, Abang Adan mendayung.

Air hampir menenggelamkan pintu rumah.Kami maduk ke dalam rumah menaiki perahu.
          Kami sempat mengambil beberapa helai tikar, dapur gas dan bebetapa barang lagi semuat muat perahu.Selebihnya, Adan menyusun semuanya di atas karbinet dapur dengan harapan air akan segera surut.
          Subjek utama kami juga harus diselamatkan.Lembu kami alihkan ke tempat lebih tinggi.Kasihan Puan lem dan anak anak daranya.huhuhu...

          Hari ini, anak anak dari asrama pulang ke rumah.Saya menjemput Arif dari asrama.Tetapi Nana di Semesta memang tidak mampu untuk kami bawa pulang.Mujur juga sepupu beliau bekerja di Raub dan dialah yang membantu menjemput Nana ke rumahnya.
          Sebelah petangnya hujan lebat terus membanjiri bumi Bukit Betong.Jalan masuk tidak dapat dilalui.Nampaknya hari ini saya telah cuti tanpa notis.Harap boss memahami kesulitan kami.

          Malam ini membuai resah semua mangsa banjir.Sebelah petang ni, mangsa banjir sudah kian ramai. Ada juga yang berpindah walaupun rumah belum tenggelam.Yang paling merunsingkan,hujan turun dengan lebat.Masing masing tidur dengan hati risau.Saya pula tidur lena ketana kepenatan.

          Jumpa lagi dalam episod banjir esoknya pula ya...Assalamualaikum.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...